Thursday, March 27, 2008

Apam Gula Hangus

Sudah lama saya tidak buat apam gula hangus ini. Entah macam mana terajinlah pula hendak buat apam gula hangus ini untuk sarapan pagi. Itupun saya hanya buat satu adunan sahaja dan memang cukup-cukup 21 acuan lompang (satu loyang). Hasilnya memang amat memuaskan. Kuih apam gula hangus ini lembut dan gebu serta sedap rasanya. Tidak rugi juga jika anda mencubanya.

Bahan2

1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air
-digoreng gulanya tanpa minyak sehingga cair dan bertukar warna keperangan... pastu masukkan air... kacau hingga benar2 larut dan tutup api. Biarkan suam

1/4 cawan gula halus
1 biji telur

-dipukul telur bersama gula halus hingga benar2 kembang

1 1/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan susu tepung
1 sudu soda bicarbonate

-diayak bersama sebanyak dua kali.

-Mula2 panaskan kukusan.
-Masukkan gula hangus tadi ke dalam adunan telur yang sudah dipukul tadi berselang seli dengan tepung. pukul hingga rata. Setelah itu, masukkan ke dalam bekas mangkuk lompang yang telah disapu dengan minyak sedikit. Tuang dalam separuh cawan sahaja. Kemudian kukus selama 20 minit atau sehingga benar2 masak dengan menggunakan api besar. Setelah masak... biarkan sejuk dan selepas itu barulah boleh keluarkan dari acuannya. Hidangkan bersama parutan kelapa muda....


Sunday, March 23, 2008

KEK COKLAT KUKUS ZAIMA

Kek ini pertama kali saya cuba dan hasilnya memang amat memuaskan. Rasanya juga amat sedap dan kelihatan lebih muai sedikit juga lembut. Ketika menghidangkan kek ini, suami sayalah orang yang paling suka sekali melihat kejayaan saya yang bersungguh-sungguh membuat kek coklat ini. Setelah siap kek coklat ini dengan topingnya sekali, suami saya lebih dulu telah menyimpannya di dalam peti sejuk untuk menikmatinya sejuk-sejuk. Sememangnya suami saya amat menggemari kek yang juga sejenis manisan. Walaupun hiasan agak simple, namun tidak mematahkan semangat saya untuk menghasilkan kek yang sama di masa akan datang dengan lebih baik dan menarik sekali.


Bahan utama:
1 cawan serbuk koko
1 cawan susu cair
1 cawan gula pasir
1 cawan marjerin (dicairkan)/minyak masak
1/2 cawan susu pekat manis

Kesemua bahan di atas dicampurkan dan dimasak hingga sebati dan setelah itu, tutup api dan biarkan sehingga suam.

Bahan Campuran Tepung:
1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bicarbonate
1 sudu teh baking powder

Diayak bersama tepung-tepung tersebut.

Bahan Telur:
3 biji telur
1 sudu teh ovalete

Pukul telur bersama ovalete sehingga benar-benar kembang. Setelah itu, masukkan adunan koko yang telah suam tadi ke dalam adunan telur dan kacau sehingga sebati. Akhir sekali, masukkan pula campuran tepung sedikit demi sedikit sehingga habis. Pukul adunan sehingga sebati. Panaskan periuk kukus. Sementara itu, sapukan loyang dengan sedikit minyak sebelum menuang adunan ke dalamnya. Setelah itu, barulah dituangkan ke dalam loyang. Setelah kukusan sudah panas, bolehlah masukkan adunan kek ke dalam periuk kukus dan kukuslah selama 1 1/2 jam atau sehingga masak dengan menggunakan api sederhana. Setelah kek masak, keluarkan dari periuk kukusan dan sejukkan. Apabila sudah sejuk, keluarkan kek dari loyang dan sedia untuk toping.

Bahan toping:
3/4 cawan serbuk koko
3 sudu makan susu pekat manis
1/2 sudu makan shortening
3/4 cawan air panas

Masak dan kacau hingga koko sebati dan nampak agak likat dengan menggunakan api yang sangat kecil. Apabila sudah nampak berkilat, tuangkan ke atas permukaan kek dan ratakan. Hiaskan mengikut suka dan bolehlah dihidang.

DAGING DENDENG LIZA

Resepi ini juga saya perolehi dari seorang sahabat. Saya ubah sedikit untuk mendapatkan rasa yang lebih ideal dengan selera keluarga saya. Sememangnya hidangan ini agak mudah disediakan dan sesuai untuk dihidangkan sebagai makan hadap pengantin. Cuma ubah suai dengan kuliner yang menarik, sudah cukup memperlihatkan hidangan ini seakan mewah di meja makan.

Bahan2:
1/2 kilo daging (rebus, hiris nipis)
8 biji cili merah, ditumbuk
1 labu bawang besar. dihiris
6 biji bawang merah, ditumbuk
3 ulas bawang putih, ditumbuk
secubit belacan
1 batang serai, dititik
2 biji tomato sederhana (boleh juga gantikan dengan asam belimbing)
Sedikit perahan air asam jawa (kalau guna asam belimbing, bhn ini tak perlu)
2 sudu sos cili
Sedikit garam, gula dan ajinomoto.
sedikit air dan minyak untuk menumis

Caranya:
Daging yang telah dihiris nipis tadi di tumbuk jgn sampai hancur, sekadar untuk meleperkan daging tadi. Kemudian, goreng garing. Ketepikan. Sediakan bahan tumbuk siap ditumbuk bersama belacan. Panaskan minyak di dalam kuali dan kemudian tumis bahan tumbuk tadi hingga naik bau. Masukkan pula air asam jawa, serai dan kacau rata. Perisakan dengan sos cili, garam, gula dan ajinomoto. Kalau sudah sedap-sedap rasanya, bolehlah masukkan hirisan bawang besar dan tomato. Apabila bawang dan tomato sudah agak layu, barulah masukkan daging dan balik2kan hingga rata. Tutup api dan bolehlah dihidangkan. Senang dan mudah saja.

KEK YIS LOYANG LIZA

Baru-baru ini, saya ada mencuba satu resepi yang amat mudah cara penyediaannya. Saya mendapat ilham akan resepi ini apabila saya terbaca satu majalah resepi dari Indonesia. Beberapa bahan telah saya ubah mengikut kesesuaian selera keluarga saya. Bahan2 yang diperlukan juga tidak banyak memerlukan modal... Kek ini boleh dibakar dan juga dikukus. Terpulanglah, ikut kehendak masing-masing.


Bahan A:
2 sudu teh mauripan
200 ml susu cair
1 sudu makan gula pasir

Bahan B:
200 gram tepung gandum
100 gram oat
100 gram kacang gajus, dicincang halus (saya guna kacang tanah saja)
50 gram kismis, dipotong2
50 gram sultana, dipotong2
100 gram gula pasir
1 sudu teh baking powder
75 gram margerin
1 biji telur, dipukul ringan
1/4 sudu teh garam

Cara membuatnya:
1. Kacau rata bahan A. Biarkan selama 20 minit.
2. Campurkan tepung gandum, oat, kacang gajus, kismis, sultana, gula pasir dan baking powder. Gaul hingga rata.
3. Masukkan margerin. Gaul lagi biar sampai berbutir. Masukkan telur dan garam. Gaul lagi hingga rata.
4. Masukkan bahan A dan kacau rata. Tuang ke dalam loyang yang telahdisapu dengan margerin dan dialas kertas roti sehingga 3/4 tinggiloyang.
5. Biarkan selama 1 jam sehingga kembang.
6. Kukus selama 30 minit atau sehingga benar-benar masak atau anda boleh bakarnya selama 30 minit dengan suhu 180 darjah celcius. (Yang ni, saya buat kukus saja).

:-Sepanjang pemeraman adunan adalah lebih baik ditutup supaya adunan tidak kering.
:- Sultana adalah sejenis kismis juga, tetapi agak gelap sedikit warnanya dengan kismis.

Kek yang saya buat ni, memang sedap dengan paduan rasa kacang dan kismis. Masa saya hidangkan untuk suami, fikirnya saya ada campur pisang. Walhal tiada langsung!

Wednesday, March 12, 2008

Pelbagai Menu Memikat Selera

Pelbagai selera kampung yang sering menjadi pilihan utama keluarga saya. Biarpun agak ringkas, namun saya tetap mahu pastikan keluarga saya menyantapnya dengan penuh selera. Walaupun saya sering sibuk dengan kerja, saya masih tetap mengisi ruang saya ke dapur dengan menyediakan pelbagai juadah untuk keluarga tersayang. Cuma pada hari cuti, barulah saya dapat menyediakan hidangan yang istimewa lain daripada yang lain berbeza hidangan harian. Setakat ini, saya akan paparkan hidangan kampung yang memikat hati keluarga saya.








Selain itu, saya juga ada cuba menghasilkan beberapa kuih-muih sebagai hidangan pagi dan petang. Apa yang penting, keluarga saya memang menyukainya.



Sunday, November 18, 2007

Sebagai permulaan blog ini, saya ingin melahirkan sesuatu yang telah lama terbuku dalam diri saya. Memang sudah lama punyai hasrat ini, tapi masih belum lagi berkemampuan untuk menuju ke arah itu. Kini, setelah saya yakin dan berbekalkan pengalaman, saya ingin berkongsi serba sedikit pengetahuan saya di sini.

Tentu ada yang tertanya-tanya apakah yang ingin saya kongsikan? Sebenarnya saya ingin berkongsi hobi saya tidak kira apa jua yang akan saya bentangkan di sini, saya harap ianya akan mendapat sambutan suatu hari nanti.

Di sini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang dunia masakan. Biarpun saya bukan bergelar tukang masak profesional, tetapi tidak salah jika saya punyai tujuan untuk membuktikan bakat saya dalam bidang ini.

Sebenarnya saya bukanlah pernah bertugas sebagai tukang masak mana-mana restoran, gerai-gerai ataupun hotel-hotel terkemuka. Sebenarnya tugas saya adalah seorang pengarang majalah. Akan tetapi, punca dari situlah saya mulai semakin berminat dengan dunia masakan ini. Majalah yang saya kelolakan sekarang ini ada kaitannya dengan dunia masakan. Namun begitu, untuk pengetahuan semua, majalah yang saya maksudkan masih dalam proses penerbitannya lagi dan belum pernah diterbitkan lagi. Insya'Allah, jika tiada masalah, mungkin akan terbit dalam masa terdekat ini.

Untuk permulaan ini, saya hanya perkenalkan diri terlebih dahulu. Mungkin di lain masa, saya akan luangkan masa dengan menempelkan beberapa resepi menarik untuk dicuba semua. Insya'Allah, andai ada umur yang panjang... kita akan ketemu lagi. Wassalam.